Apa itu Anafilaksis?
Anafilaksis ialah keadaan yang merujuk kepada tindak balas alahan yang teruk. Ia boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak diberikan rawatan kecemasan.
Ia boleh berlaku dalam beberapa saat atau minit selepas terdedah kepada sesuatu yang anda alah kepadanya. Contohnya seperti kacang tanah, telur atau susu.
Anafilaksis menyebabkan sistem imun mengeluarkan banyak bahan kimia yang boleh menyebabkan anda mengalami kejutan yang seterusnya menyebabkan tekanan darah turun secara tiba-tiba dan saluran pernafasan menyempit serta menghalang pernafasan.

Anafilaksis memerlukan suntikan epinefrina dan rawatan susulan ke bilik kecemasan. Jika anda tidak mempunyai penyuntik epinefrina, anda perlu bergegas ke unit kecemasan dengan segera.
Jika anafilaksis tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa maut.
Punca atau Penyebab Anafilaksis
Anafilaksis berlaku apabila badan bertindak balas terhadap bahan asing seolah-olah ia adalah ancaman serius kepada kesihatan.
Antara pencetus (alergen) yang paling lazim menyebabkan anafilaksis ialah ubat-ubatan, makanan dan sengatan serangga.
Antara makanan yang selalunya menyebabkan tindak balas alahan adalah:
Sebarang bahan yang menyebabkan tindak balas alahan dipanggil alergen. Bagi sesetengah orang, walaupun pendedahan minimum kepada alergen boleh menyebabkan tindak balas yang teruk.
Apa yang Berlaku Semasa Anafilaksis?
Semasa anafilaksis, badan menghasilkan sejumlah besar bahan kimia yang dikenali sebagai histamin.
Histamin ini kemudiaannya mencetuskan tindak balas keradangan dan menyebabkan gejala-gejala alahan.
Tindak balas ini membawa kepada:
- Pengembangan saluran darah
- Tekanan darah turun secara tiba-tiba
- Saluran darah menyempit
- Hilang kesedaran
- Kejutan
Tambahan daripada itu juga, saluran darah boleh bocor dan menyebabkan edema iaitu bengkak akibat daripada pengumpulan bendalir.
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala atau tanda anafilaksis biasanya berlaku dalam masa beberapa minit selepas terdedah kepada alergen.
Kadang-kadang, anafilaksis boleh berlaku dalam masa setengah jam atau sejam selepas terdedah kepada alergen. Dalam kes-kes terpencil, tindak balas mungkin berlaku lebih lambat.
Gejala-gejala atau tanda adalah seperti berikut:
- Gatal-gatal
- Kulit menjadi pucat
- Tekanan darah rendah
- Denyutan nadi lemah dan laju
- Loya, muntah atau cirit-birit
- Pening atau pitam
- Bengkak lidah dan tekak menyebabkan sukar bernafas
- Kejutan
- Tidak sedarkan diri
- Bengkak kaki, tangan, bibir, mata atau bahagian kemaluan (jarang-jarang)
Bantuan Pertolongan Cemas
Sesiapa sahaja yang mengalami tindak balas alahan yang teruk ini perlu mendapatkan rawatan segera.
Pertolongan cemas bagi anafilaksis adalah seperti berikut:
- Buang atau singkirkan alergen (jika boleh) dan buat panggilan kecemasan 999.
- Pastikan individu tersebut sejuk dan longgarkan sebarang pakaian yang menyekat atau ketat.
- Jika mereka berasa ingin pengsan, minta mereka untuk duduk, menyandar atau berbaring.
- Tanya sama ada individu tersebut mempunyai sejarah tindak balas alahan atau alergi.
- Bantu mereka mengambil sebarang ubat alahan yang mereka bawa.
- Yakinkan orang itu dan tinggal bersama mereka sehingga bantuan kecemasan tiba.
Jika individu tersebut mempunyai sejarah alahan yang teruk, mereka mungkin membawa kit suntikan adrenalin atau epinefrin.
Ia mungkin mengandungi penyuntik automatik, seperti EpiPen. Penyuntik tersebut akan memberikan dos epinefrin, satu bentuk adrenalin.
Rawatan
Rawatan kecemasan untuk seseorang yang mengalami tindak balas alahan yang teruk melibatkan suntikan epinefrin atau adrenalin.
Epinefrin membantu dalam beberapa cara iaitu:
- Mengendurkan otot sekitar paru-paru
- Mengecutkan saluran darah
- Mengurangkan bengkak
- Membantu meningkatkan tekanan darah
- Mengehadkan tindak balas dengan menyekat pelepasan bahan kimia tambahan
Selain itu, pesakit mungkin turut dirawat dengan:
- Oksigen untuk membantu pernafasan
- Suntikan antihistamin dan kortison untuk mengurangkan keradangan saluran pernafasan dan meningkat pernafasan
- Beta-agonis untuk melegakan gejala-gejala pernafasan.
Langkah-langkah Pencegahan
Cara terbaik untuk mencegah anafilaksis adalah menjauhkan diri daripada bahan yang menyebabkan tindak balas yang teruk ini.
Selain itu, anda boleh mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:
- Memakai gelang atau rantaian perubatan yang menunjukkan anda mempunyai alahan terhadap sesuatu ubat atau bahan termasuk makanan.
- Sentiasa membawa kit kecemasan seperti penyuntik epinefrin.
- Pastikan penjaga anda tahu bahawa anda mempunyai alahan tertentu.
- Sentiasa membaca label makanan sekiranya anda mempunyai alahan makanan.
- Memakai pakaian yang melindungi badan daripada sengatan serangga sekiranya anda mempunyai alahan terhadap sengatan serangga.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Anaphylaxis. MayoClinic
- Wood, R. A. et al. (2014). Anaphylaxis in America: the prevalence and characteristics of anaphylaxis in the United States. The Journal of allergy and clinical immunology.