Alergen ialah bahan yang boleh menyebabkan tindak balas alahan (alergi). Apabila anda menghidap alahan, badan anda tersilap bertindak balas terhadap bahan tertentu (alergen) yang dikesan sebagai berbahaya dengan membuat antibodi untuk melawannya.
Tindak balas alahan ialah simptom-simptom yang terhasil akibat daripada badan menghasilkan antibodi tersebut.
Terdapat beberapa jenis alergen yang boleh memasuki badan anda melalui sistem pernafasan, kulit atau saluran pencernaan.

Jenis-jenis Alergen
Jenis alergen yang berbeza menjejaskan anda dengan cara yang berbeza.
Contohnya, sesetengahnya menyebabkan gejala pernafasan, manakala yang lain mengakibatkan ruam kulit atau gangguan perut dan usus.
Lebih parah lagi, sesetengahnya boleh menyebabkan tindak balas alahan yang boleh mengancam nyawa.
1. Alergen Makanan
Alergen makanan boleh menyebabkan tindak balas ringan hinggalah teruk seperti tindak balas anafilaksis.
Terdapat 9 jenis makanan yang paling lazim menyebabkan tindak balas alahan berbanding makanan lain iaitu:
- Telur
- Kacang tanah
- Susu
- Kacang
- Kerang-kerangan
- Kacang soya
- Gandum
- Bijan
- Ikan
2. Alergen Kulit
Ruam kulit adalah tindak balas yang paling biasa berlaku apabila kulit bersentuhan dengan alergen kulit. Alahan ini dikenali sebagai dermatitis sentuh.
Antara alergen yang dikelaskan dalam kategori ini adalah:
- Getah (lateks)
- Nikel
- Kosmetik
- Minyak wangi atau wangian
- Ubat sapuan
- Pencuci atau sabun pencuci
- Tumbuhan
3. Alergen Bawaan Udara
Alergen bawaan udara adalah alergen yang memasuki badan anda melalui saluran pernafasan. Alergen jenis ini biasanya menyebabkan gejala-gejala alahan hidung dan mata seperti rinitis alergi dan konjunktivitis alergi.
Antara alergen bawaan udara adalah:
- Debunga
- Hama habuk
- Sisik haiwan
- Kulapuk dan kulat
4. Alergen Ubat-ubatan
Alergen ubat-ubatan boleh menyebabkan ruam kulit, gatal-gatal dan anafilaksis. Adalah tidak mustahil untuk anda mengalami alahan untuk apa-apa ubat.
Walau bagaimanapun, beberapa ubat yang sering menyebabkan tindak balas alahan adalah:
- Antibiotik seperti penicillin
- Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen atau naproxen
- Ubat sulfa yang selalunya digunakan untuk merawat jangkitan salur kencing
- Antikonvulsan (ubat sawan)
- Ubat kemoterapi
Gejala-gejala dan Komplikasi
Pendedahan kepada alergen boleh mengakibatkan pelbagai jenis gejala. Antara gejala-gejala yang sering berlaku adalah:
- Ruam
- Batuk
- Bersin
- Berdehit
- Hidung berair
- Hidung tersumbat
- Sakit kepala
- Loya
- Sukar bernafas
Selalunya, alergen hanyalah gangguan. Walau bagaimanapun, pendedahan kepada bahan-bahan tersebut boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih serius.
Beberapa risiko atau komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Asma: Asma adalah penyakit paru-paru yang kronik yang menyebabkan paru-paru bertindak balas dengan menutup apabila terdedah kepada pencetus tertentu.
- Anafilaksis: Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang teruk yang boleh mengancam nyawa.
- Jangkitan kronik: Jangkitan kronik adalah lebih lazim bagi mereka yang mempunyai alahan.
Rawatan
Rawatan utama adalah mengelakkan daripada alergen yang membuatkan anda mengalami tindak balas alahan. Namun, kadangkala ia tidak mungkin atau sukar.
Justeru itu, rawatan-rawatan lain boleh membantu:
- Ubat antihistamin
- Kortikosteroid hidung
- Ubat titis mata
- Dekongestan
- Ubat kortikosteroid oral
- Suntikan alahan
Rujukan
- National Institute of Environmental Health Sciences. Allergens.
- FDA. (2023). Food Allergies.
- Valeii, K. (2021). What Are Allergens? verywellhealth.