Alahan atau alergi terhadap kekacang adalah antara alahan yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Sesetengah kanak-kanak akan beransur-ansur hilang alahannya apabila meningkat dewasa, manakala ada yang terus alah kepada kekacang sepanjang hidupnya.

Kekacang juga boleh menyebabkan reaksi alergi yang serius, malahan jumlah yang sedikit pun boleh menyebabkan reaksi yang serius.

tanda - tanda alahan kekacang

Tanda Awal atau Ringan Alahan Kekacang

Dalam kebanyakan kes, reaksi alahan akan kelihatan jelas dalam beberapa minit selepas makan atau sentuhan dengan kekacang. Tanda-tanda tersebut adalah seperti (1):

  • Uriticaria (kulit berbintat, gatal-gatal dan kemerahan)
  • Gatal dan rasa semut-semut sekitar mulut atau kerongkong
  • Hidung berair
  • Loya
  • Ekzema (kulit merah dan gatal)

Sesetengah kes, tanda-tanda ringan ini hanyalah tindak balas permulaan. Tindak balas ini boleh menjadi lebih serius jika rawatan awal tidak dilakukan.

Tanda dan Simptom Alahan Kekacang yang Lebih Serius

Terdapat juga tanda atau simptom tindak balas alahan yang lebih serius, jelas dan tidak menyenangkan. Antaranya ialah:

  • Bengkak bibir atau lidah
  • Bengkak muka
  • Sukar bernafas
  • Nafas berbunyi (wheezing)
  • Kejang perut
  • Loya
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Keresahan

Tindak Balas Alahan yang Boleh Membahayakan Nyawa

Terdapat juga kanak-kanak yang mendapat tindak balas alahan yang serius yang boleh membahayakan nyawa mereka. Tindak balas seperti ini dikenali sebagai anafilaksis.

Tanda-tanda yang boleh dikenalpasti adalah seperti yang diterangkan di atas termasuklah tanda-tanda berikut:

  • bengkak kerongkong (tekak menjadi sempit)
  • sukar bernafas
  • tekanan darah rendah
  • denyutan jantung pantas
  • keliru
  • pening kepala
  • tidak sedarkan diri

Tindak balas yang teruk boleh menyebabkan koma dan kematian jika tidak dirawat.

Bagaimana untuk Merawat Alahan yang Teruk/Serius

Sekiranya anak anda atau kanak-kanak mengalami tindak balas alahan melebihi dua sistem badan seperti sistem pernafasan dan sistem penghadaman atau anafilaksis, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana alahan ini boleh meragut nyawa.

Selain itu, sekiranya anda mengetahui anak anda mempunyai alahan terhadap kekacang, rawatan awal seperti suntikan epinephrine dapat membantu. Selepas itu, anak anda masih perlu dibawa ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimana untuk Merawat Alahan Kekacang yang Ringan

Bagi tanda-tanda alahan yang ringan muncul selepas pengambilan kekacang, langkah yang terbaik ialah dapatkan rawatan daripada doktor secepat mungkin.

Ubat seperti antihistamines, adrenaline dan steroids boleh membantu sekiranya alahan yang dialami tidak teruk. Namun begitu, harus diingat bahawa tanda-tanda ringan ini boleh menjadi permulaan kepada alahan yang teruk.

Langkah Pencegahan

Sekiranya anak anda atau anda didapati mempunyai alahan kekacang, cuba elakkan dari semua makanan yang mengandungi kekacang.

Walau bagaimanapun, kajian yang di terbitkan pada 2017 mengesyorkan, pendedahan awal kekacang kepada anak kecil lebih bermanfaat untuk mencegah alahan kekacang berbanding dengan pendedahan yang lewat (2).

Garis panduan baru yang dikeluarkan oleh JAMA Pediatrics pada 2017 juga mengariskan ibu mengandung atau menyusukan anak tidak perlu lagi mengelakkan dari makan kekacang.

Namun, bagi bayi yang berisiko tinggi (seperti mempunyai ekzema yang teruk atau alah kepada telur) harus menjalani ujian alahan untuk mengetahui pendedahan kepada kekacang bermanfaat atau tidak kepada bayi tersebut (3).

Garis panduan ini juga menyokong pengelakkan pemberian makanan pepejal kepada bayi sehingga berumur 6 bulan.

Ubat Monoclonal ant-IgE antibodi boleh digunakan sebagai ubat untuk mengurangkan berlakunya alahan ini (4). Sila dapatkan nasihat doktor.

Write A Comment