Kembung perut ialah keadaan dimana perut kita terasa membengkak atau membesar selepas makan.

Ia kebiasaannya disebabkan oleh gas (angin) atau masalah penghadaman (1).

Walaupun kembung perut ini adalah perkara biasa, kadangkala ia amat menganggu keselesaan dan aktiviti harian kita.

Oleh itu, langkah terbaik ialah mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan kembung perut.

Berikut merupakan makanan yang boleh menyebabkan kembung perut.

1. Kekacang

Kebanyakan kekacang mempunyai gula yang dipanggil alfa-galaktosida, daripada kumpulan karbohidrat yang dipanggil FODMAPs (fermentable oligo-, di-, mono-saccharides and polyols).

FODMAP ialah karbohidrat rantai pendek yang terlepas dari pencernaan dan ditapai oleh bakteria usus di dalam kolon (usus besar). Proses ini menghasilkan gas.

Bagi mereka yang sihat, selalunya FODMAPs ini tidak memberi masalah.

Namun, bagi mereka yang mengalami masalah sindrom usus rengsa, sejenis gas lain dihasilkan semasa proses tapaian (fermentasi). Ini menyebabkan kembung perut, cirit-birit dan kejang perut (2).

2. Minuman Berkarbonat

Minuman berkarbonat atau bergas juga boleh menjadi punca kepada kembung perut.

Minuman jenis ini mempunyai kuantiti gas karbon dioksida yang tinggi.

Apabila anda minum minuman berkarbonat ini, sesetengah gas ini akan terperangkap dalam sistem penghadaman. Seterusnya, kita akan mengalami kembung dan kejang perut.

makanan yang menyebabkan kembung perut

3. Barli

Barli merupakan bijirin yang menyihatkan.

Malahan di Malaysia, air barli adalah tidak asing dalam kalangan masyarakat di sini.

Barli kaya dengan serat dan kandungan serat ini boleh membawa kepada kembung perut dalam kalangan mereka yang tidak biasa makan makanan yang tinggi serat.

Selain itu, barli juga mengandungi gluten. Gluten boleh membawa masalah kepada mereka yang sensitif kepada gluten.

4. Gandum

Gandum adalah bahan utama untuk membuat roti, pasta, piza, kek, biskut dan lain-lain lagi.

Walau bagaimanapun, gandum mempunyai protein yang dikenali sebagai gluten. Bagi mereka yang mempunyai penyakit seliak atau sensitif terhadap gluten, gandum menjadi punca kepada masalah penghadaman termasuklah kembung, cirit-birit dan sakit perut (3).

Selain itu, gandum juga merupakan sumber kepada FODMAPs yang turut menjadi punca kepada kembung perut.

5. Brokoli dan Sayuran Keluarga Kubis

Sayuran dari keluarga kubis adalah terdiri daripada brokoli, kubis bunga, kubis, dan beberapa yang lain.

Sayuran jenis ini adalah sangat sihat dan mengandungi nutrien seperti vitamin C, vitamin K, serat, zat besi dan kalium.

Walau bagaimanapun, sayuran ini mengandungi FODMAPs, yang mungkin boleh menyebabkan kembung perut bagi sesetengah orang (4).

6. Produk Tenusu

Susu adalah sumber yang baik untuk mendapatkan nutrien seperti protein dan kalsium.

Namun, kira-kira 75% dari populasi dunia tidak boleh mencernakan laktosa, gula yang dijumpai dalam susu. Keadaan ini dikenali sebagai intoleransi laktosa atau tak tahan laktosa (5, 6).

Intoleransi laktosa ini boleh menyebabkan masalah penghadaman seperti kembung perut, angin, cirit-birit dan kekejangan.

7. Gula Alkohol

Gula alkohol adalah salah satu alternatif kepada gula putih atau gula pasir.

Gula alkohol sebenarnya baik untuk mereka yang berdiet dan mereka yang mengalami masalah kencing manis kerana mempunyai kesan yang minima pada gula darah.

Gula alkohol juga mengandungi FODMAPs. Xylitol, sorbitol dan mannitol adalah antara gula alkohol yang sekiranya diambil terlalu banyak boleh menyebabkan penghadaman seperti kembung perut, angin dan cirit-birit.

Saranan

Sekiranya anda mengalami masalah kembung perut, kemungkinan makanan-makanan ini menjadi puncanya.

Walau bagaimanapun, kita tidak harus mengabaikan kesemua makanan ini kerana kebanyakannya adalah baik untuk kesihatan kita. Hanya abaikan makanan yang betul-betul menyebabkan masalah kepada kita.

Setiap individu akan mempunyai tindak balas berbeza-beza untuk makanan-makanan ini. Jadi, kenali makanan dan badan anda.

Write A Comment