Alahan

Alahan Terhadap Haiwan Peliharaan: Kucing dan Anjing

Pinterest LinkedIn Tumblr

Alahan terhadap haiwan peliharaan berlaku apabila ada tindak balas terhadap protein yang dijumpai dalam sel-sel kulit, air liur dan air kencing haiwan peliharaan.

Semua haiwan peliharaan bebrulu boleh menjadi penyebab kepada alahan ini. Namun kebiasaannya, alahan ini lebih banyak dikaitkan dengan kucing dan anjing.

Menghindari haiwan-haiwan peliharaan ini adalah langkah terbaik sekiranya anda mempunyai masalah alahan terhadap mereka.

Punca Alahan

Alahan berlaku apabila sistem imunisasi bertindak balas dengan bendasing seperti debunga, kulapok dan sisik haiwan peliharaan.

Sistem imunisasi ini akan menghasilkan protein yang dikenali sebagai antibodi. Antibodi ini akan melindungi anda daripada bendasing yang boleh menyebabkan anda sakit.

Bagi mereka yang alahan, sistem imunisasi menghasilkan antibodi terhadap alergen yang dianggap sebagai berbahaya walaupun tidak.

Bagi alergen yang disedut menghasilkan keradangan dalam saluran pernafasan atau paru-paru. Jika selalu terdedah atau terdedah terlalu lama boleh membawa kepada masalah asma.

alahan terhadap haiwan peliharaan

Kucing dan Anjing

Alahan daripada kucing dan anjing boleh berpunca daripada sel-sel kulit (seperti kelemumur), air liur, air kencing, peluh dan bulu mereka (1).

Sel-sel kulit ini selalunya menjadi masalah kerana ia kecil, sukar dilihat dan selalunya kekal lama dalam udara. Selalunya senang melekat pada perabot dan baju.

Air liur pula boleh melekat pada karpet, perabot, tilam dan pakaian.

Arnab dan Haiwan Roden

Haiwan roden seperti tikus, hamster dan tikus belanda (guinea pig) turut boleh menyebabkan alahan. Alergen boleh berada pada bulu, kelemumur, air liur dan air kencing mereka (2).

Habuk kayu dibawah sangkar mereka juga boleh menjadi penyebab alahan.

Alergen daripada arnab pula boleh datang daripada bulu, air liur dan kelemumurnya.

Tanda-tanda Alahan

Tanda dan simptom alahan terhadap haiwan peliharaan adalah seperti berikut (2, 3):

  • Bersin
  • Batuk
  • Hidung berair
  • Gatal di mata dan mata merah serat berair
  • Gatal hidung atau kerongkong
  • Hidung tersumbat
  • Kesakitan pada muka

Sekiranya alahan terhadap haiwan peliharaan ini membawa kepada asma (lelah), anda akan mengalami tanda-tanda berikut:

  • Kesukaran bernafas
  • Rasa ketat atau sakit didada
  • Kesukaran untuk tidur akibat kesukaran bernafas, batuk dan berdehit
  • Bunyi berdesing ketika menghembuskan nafas

Alahan ini juga boleh menyebabkan radang pada kulit. Antara tanda yang boleh dilihat adalah:

  • Ekzema
  • Gatal-gatal pada kulit
  • Ruam

Rawatan dan Pencegahan

Sekiranya anda atau anak anda mempunyai alahan terhadap haiwan peliharaan ini, beberapa langkah pencegahan boleh diambil. Antaranya ialah:

  • Jangan peluk, cium haiwan peliharaan itu.
  • Sentiasa bersihkan bilik atau rumah dengan pembersih hampagas.
  • Hadkan kawasan yang boleh digunakan oleh haiwan peliharaan itu, jauhi mereka dari bilik tidur anda.
  • Gunakan pembersih udara yang mempunyai penapis HEPA (High-efficiency particulate air).
  • Mandikan haiwan peliharaan anda sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Rawatan yang boleh menambah baik alahan pada saluran pernafasan adalah seperti berikut:

  1. Antihistamin: mengurangkan penghasilan bahan kimia sistem imunisasi yang aktif dalam tindak balas alahan.
  2. Kortikosteroid (Corticosteroid): dijadikan sebagai semburan pernafasan yang boleh mengurangkan keradangan dan mengawal gejala demam alergi.
  3. Dekongestan (Decongestant): boleh mengecutkan tisu-tisu yang bengkak dalam saluran pernafasan.
  4. Leukotriene modifiers: menghalang sesetengah tindak balas bahan kimia sistem imunisasi.

Produk antihistamin yang boleh didapati di kedai ubat adalah seperti fexofenadine, Ioratadine dan cetirizine.

Write A Comment