Mereka yang mempunyai alahan terhadap habuk amatlah sensitif dengan rumah yang berhabuk atau berdebu. Alahan terhadap habuk turut dikenali sebagai alahan terhadap hama habuk.

Rumah yang berhabuk dan berdebu akan mencetuskan suasana yang tidak selesa kepada mereka yang mempunyai alahan ini. Tanda-tanda alahan akan lebih jelas dan teruk terutamanya selepas proses menyapu, memvakum dan membuang habuk.

Hal ini kerana, proses pembersihan ini menyebabkan habuk-habuk ini berterbangan di udara dan memudahkannya untuk disedut oleh penghidap alahan ini.

Punca-punca alahan

Alahan atau alergi berlaku apabila sistem imunisasi badan bertindak balas terhadap bahan asing. Sistem imunisasi akan menghasilkan protein yang dikenali sebagai antibodi untuk melindungi kita daripada sebarang penceroboh yang boleh mendatangkan penyakit atau jangkitan.

Sekiranya seseorang itu mempunyai alahan, sistem imunisasi menghasilkan antibodi yang mengenalpasti sesuatu alergen (penyebab alahan) sebagai berbahaya walaupun hakikatnya ia tidak berbahaya.

Alahan terhadap habuk ini boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuklah:

  • Hama habuk: Hama habuk adalah punca yang paling biasa menyebabkan alahan ini. Hama ini hidup dan membiak dengan pantas di kawasan yang panas dan lembap dengan suhu sekitar 25°C. Hama ini akan mati sekiranya kelembapan kawasan itu rendah daripada 50 peratus (1).
  • Kulapok: Kulapok ialah kulat yang menghasilkan spora terapung di udara. Apabila mereka yang mempunyai alahan menyedut spora ini mereka akan mendapat alahan.
  • Lipas: Mereka yang mendapat alahan disebabkan lipas berkemungkinan akibat daripada partikel-partikel habuk yang berada pada lipas.
  • Debunga: Debunga boleh berasal daripada pokok, bunga, rumput dan rumpai. Terdapat mereka yang alahan terdahap debunga yang berbeza. Debunga juga adalah komponen dalam habuk di rumah dan boleh menjadi punca kepada alahan.
  • Bulu haiwan peliharaan: Haiwan peliharaan juga boleh menjadi punca kepada alahan seperti alahan terhadap haiwan peliharaan. Air liur, air kencing atau kulit yang mengelupas (dander) boleh menjadi punca kepada alahan terutamanya apabila bergabung dengan habuk dirumah. Bulu pelepah dan tahi burung yang dibela di dalam rumah turut boleh menjadi punca kepada mereka yang alahan terhadapnya.
alahan terhadap habuk

Tanda-tanda alahan

Alahan terhadap habuk menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan, antara tanda-tanda atau gejala alahan ini ialah (2):

  • Bersin
  • Hidung berair
  • Gatal pada hidung
  • Mata menjadi merah dan berair serta gatal
  • Batuk
  • Gatal pada lelangit atau kerongkong
  • Kulit bawah mata menjadi bengkak dan berwarna biru
  • Sakit dan tekanan pada muka

Sekiranya alahan ini membawa kepada serangan asma, anda akan mengalami gejala berikut:

  • Kesukaran bernafas
  • Rasa ketat atau sakit pada dada
  • Bunyi berdehit ketika menghembuskan nafas
  • Kesukaran untuk tidur akibat batuk, sukar bernafas atau berdehit

Rawatan

Sekiranya anda ada mengalami tanda-tanda atau gejala alahan ini, silalah berjumpa dengan pakar alergi. Pakar akan melakukan ujian untuk mengesahkan sama ada anda mempunyai alahan terhadap habuk atau tidak. Antara ujian yang digunakan ialah skin-prick test dan ujian darah.

Rawatan terbaik ialah menghindari kawasan berhabuk atau mengehadkan terdedah kepada kawasan berhabuk. Sekiranya ia tidak berkesan, beberapa jenis ubat boleh didapati di farmasi atau kedai-kedai ubat.

Antaranya adalah seperti (3):

  • Ubat antihistamin seperti Allegra atau Claritin. Ubat ini boleh melegakan kegatalan, hidung berair dan bersin.
  • Ubat kortikosteroid seperti Flonase atau Nasonex. Ubat ini boleh mengurangkan keradangan.
  • Ubat dekongestan seperti Sudafed atau Afrin. Ubat ini boleh mengecutkan tisu-tisu dalam saluran pernafasan bagi memudahkan pernafasan. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat jenis ini kerana mempunyai kesan sampingan .

Rawatan lain:

  • Suntikan alergi (immunotherapy): Rawatan ini adalah untuk “melatih” sistem imunisasi badan untuk tidak sensitif terhadap sesuatu alergen. Rawatan ini adalah rawatan jangka masa panjang dan selalunya digunakan jika rawatan mudah yang lain tidak memuaskan.

Langkah pencegahan adalah penting bagi masalah seperti ini. Mengamalkan budaya kebersihan di dalam rumah boleh membantu mengurangkan risiko mendapat alahan terhadap habuk ini.

Write A Comment