Alahan terhadap getah? Mungkin agak janggal bagi sesetengah orang. Namun alahan ini wujud.

Getah asli ialah getah yang diperolehi daripada pokok getah. Tindak balas alahan terhadap produk getah asli terjadi apabila sistem imun seseorang itu bertindakbalas dengan protein yang terkandung dalam getah asli.

Produk-produk yang mengandungi getah asli antaranya termasuklah:

1) Barangan atau alatan perubatan

  • Sarung tangan pakai buang
  • Tiub intravena
  • Picagari
  • Stetoskop
  • Kateter (tiub yang digunakan untuk mengeluarkan atau memasukkan cecair ke dalam rongga badan)
  • Pembalut

2) Produk orang ramai

  • Kondom
  • Beg tangan
  • Belon
  • Tayar
  • Kasut atlet
  • Barangan permainan getah
  • botol bayi
alahan terhadap getah

Siapakah yang berisiko mengalami alahan ini?

Mereka yang berisiko tinggi membentuk alahan terhadap getah asli adalah (1, 2):

  • Pekerja penyedia kesihatan dan mereka yang kerap memakai sarung tangan getah.
  • Mereka yang pernah menjalani banyak pembedahan (lebih 10 kali atau lebih).
  • Mereka yang selalu terdedah kepada getah asli termasuklah pekerja industri getah.
  • Mereka yang sudah mempunyai alahan lain seperti alahan makanan atau alahan rinitis.

Tanda-tanda Alahan Getah Asli

Dalam kebanyakan kes, alahan terhadap getah terjadi setelah lama terdedah kepada getah. Tanda atau gejala alahan adalah:

  1. Gatal-gatal
  2. Hidung berair
  3. Berdehit (wheezing)
  4. Kesukaran bernafas
  5. Rasa ketat di dada

Gejala ini boleh terjadi dalam masa beberapa minit setelah terdedah kepada produk yang mengandungi getah asli.

Selain itu, alahan pada kulit juga boleh berlaku sekiranya berlaku sentuhan langsung terhadap protein getah terutamanya produk sarung tangan getah.

Namun alahan seperti ini sudah jarang berlaku kerana hospital atau klinik telah berubah kepada sarung tangan bukan getah atau sarung tangan getah rendah protein.

Sejenis alahan pada kulit lain dikenali sebagai alahan dermatitis (sentuhan). Alahan ini boleh disebabkan oleh bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan sarung tangan getah (3).

Alahan ini boleh dilihat dengan kehadiran ekzema dan lepuh pada belakang tangan. Kesan ini boleh dilihat bermula 1 hingga 3 hari selepas memakai sarung tangan getah.

Debu getah pada sarung tangan getah itu juga boleh menjadi pencetus kepada tindak balas alahan seperti anafilaksis dan asma (4).

Mereka yang mempunyai alahan ini juga mungkin akan mempunyai alahan terhadap makanan atau buah seperti kiwi, pisang, avokado dan buah berangan lagi (5, 6).

Rawatan & Pencegahan

Alahan terhadap getah ini boleh didiagnosis menggunakan ujian darah.

Alahan ini tidak mempunyai ubat. Rawatan terbaik ialah dengan menghindari produk-produk yang mengandungi getah.

Sekiranya anda mempunyai alahan getah yang teruk, anda harus sentiasa membawa epinefrina (Epi-Pen) untuk rawatan kecemasan bagi mengelakkan anafilaksis.

Gantikan produk-produk bergetah seperti sarung tangan getah dengan sarung tangan dari vinyl, sarung tangan tanpa debu, sarung tangan rendah alergen atau sarung tangan tiruan.

Selain itu, anda harus memaklumkan doktor atau penjaga anda sekiranya anda mempunyai alahan terhadap getah.

Walaupun alahan ini jarang sekali meragut nyawa, namun langkah pencegahan yang diambil boleh mengelakkan daripada berlakunya alahan ini.

Write A Comment