Sesetengah bayi atau kanak-kanak mempunyai alahan terhadap susu lembu. Alahan susu lembu berbeza daripada tak tahan laktosa (lactose intolerance). Alahan susu ini jarang berlaku dalam kalangan orang dewasa. Kebiasaannya, mereka yang alah kepada susu lembu turut alah kepada susu kambing, biri-biri dan kerbau.

Susu terdiri daripada protein, gula lemak, vitamin, mineral dan air. Alahan susu lembu ialah tindak balas abnormal kepada protein dalam susu lembu atau produk yang mengandungi protein susu ini (1).

Antara 1-5% bayi mempunyai alahan terhadap protein yang terdapat dalam susu lembu dan susu formula yang berasaskan lembu. Kajian mendapati peratusan kanak-kanak akan bebas dari alahan ini pada umur 1 tahun (45-50%), pada umur 2 tahun (60-75%) dan pada umur 3 tahun (85-90%) (2).

alahan susu lembu

Tanda-Tanda atau Gejala Alahan Susu Lembu

Tanda-tanda atau gejala ini boleh dilihat sama ada beberapa minit atau selepas beberapa hari selepas ppengambilan susu lembu atau produk tenusu yang mengandungi protein susu lembu.

Gejala yang boleh muncul selepas beberapa minit (3, 4):

  • gatal-gatal
  • ruam
  • bintat-bintat merah (urticaria)
  • bengkak pada muka
  • nafas berbunyi
  • muntah
  • cirit-birit

Gejala yang boleh dilihat dalam beberapa jam:

  • muntah
  • cirit-birit
  • ruam atau ekzema

Gejala yang boleh dilihat dalam beberapa hari:

  • ekzema (radang pada kulit yang menampakkan kemunculan lelehan, sisik atau keruping yang menyebabkan rasa gatal dan resah)
  • cirit-birit
  • asma

Gejala tindak balas alahan yang teruk:

  • kesukaran bernafas atau nafas berbunyi
  • bengkak pada lidah
  • bengkak atau peyempitan pada kerongkong
  • kesukaran bercakap
  • pening yang berterusan
  • batuk berterusan
  • pucat

Dapatkan nasihat doktor untuk diagnosa untuk memastikan tanda-tanda ini berkaitan alahan atau penyakit lain.

Rawatan untuk Alahan Ini

Bagi bayi atau kanak-kanak yang telah didiagnosa mempunyai alahan susu lembu, rawatan terbaik ialah mengelakkan susu atau produk berkaitan susu lembu (4, 5, 6)

Selain itu, beberapa langkah lain yang boleh dilakukan adalah (4, 7):

  • Ibu yang menyusukan anak mereka juga ditegah dari mengambil makanan berasaskan susu lembu.
  • Bagi kes alahan yang teruk, ubat seperti epinephrine mungkin diperlukan.
  • Bagi bayi yang menyusu susu formula, boleh bertukar kepada susu berasaskan soya (formula protein soya) atau formula yang diproses separa hadam (hydrolysed formula) atau formula berasaskan asid amino.
  • Makanan tambahan (supplement) kalsium dan vitamin D mungkin diperlukan setiap hari bagi bayi yang tidak menyusu (dapatkan nasihat doktor).

Write A Comment