Alahan kepada buah strawberi? Kedengarannya pelik bukan? Tetapi hakikatnya nikmat mengigit buah strawberi yang enak itu boleh bertukar menjadi masalah sekiranya anda mempunyai alahan terhadap buah strawberi.

Alahan kepada buah strawberi ini agak biasa dan selalunya terjadi kepada kanak-kanak. Alahan ini berlaku apabila sistem imun bertindak balas terhadap sesetengah protein yang terkandung dalam buah ini.

Satu ulasan melaporkan bahawa alahan terhadap buah mempunyai perkaitan dengan sindrom alahan oral yang disertai oleh sindrom debunga-buah-sayur (1).

Satu kajian terhadap 274 orang dewasa di England mendapati, mereka yang alah kepada debunga turut sensitif terhadap buah epal, pic, kentang, lobak merah, saderi dan tembikai (2).

alahan kepada buah strawberi

Apakah Tanda-tanda Alahan Strawberi?

Tanda-tanda alahan kepada makanan ini boleh berlaku antara beberapa minit hingga 2 jam selepas makan makanan tersebut.

Antara tanda-tanda yang boleh berlaku adalah:

  • Gatal atau sesemut di mulut
  • Ruam pada kulit
  • Gatal pada kulit
  • Batuk
  • Rasa ketat pada kerongkong
  • Rasa mual
  • Sakit perut
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Rasa pening

Kebiasaannya, alahan ringan boleh diubati dengan ubat antihistamin. Namun, langkah terbaik ialah membawa anak anda mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

Walau bagaimanapun, bagi alahan yang serius yang dikenali sebagai anafilaksis harus mendapatkan rawatan kecemasan segera. Tanda-tanda anafilaksis adalah:

  • Bengkak pada lidah
  • Bengkak pada kerongkong yang menyukarkan pernafasan
  • Tekanan darah menurun
  • Denyutan nadi pantas
  • Pening
  • Pengsan atau tidak sedarkan diri

Anafilaksis boleh dirawat menggunakan epinefrina. Ubat ini boleh diberikan menggunakan penyuntik seperti EpiPen. Seterusnya, anak anda atau pesakit harus segera di bawa ke hospital atau klinik untuk rawatan lanjut.

Langkah – langkah Pencegahan

Sekiranya anda atau anak anda mempunyai alahan kepada buah strawberi besar kemungkinan turut alah kepada buah-buahan dari keluarga strawberi (Rosaceae) iaitu:

  • Pic
  • Ceri
  • Epal
  • Rasberi
  • Blackberi

Langkah pencegahan yang terbaik ialah menghindari daripada makan buah strawberi atau makanan berasaskan buah strawberi seperti jem, kek, jeli dan perisa semulajadi. Dalam kebanyakan kes, alahan pada buah stawberi tidak mengancam nyawa (3).

Write A Comment