Sebelum mengetahui punca-punca resdung dan rawatannya. Maka harus diketahui dahulu apakah resdung itu. Pada asasnya, resdung tidak mempunyai apa-apa makna dalam perubatan. Resdung ialah istilah yang lebih difahami oleh orang kebanyakan yang merujuk kepada penyakit hidung.

Walau bagaimanapun, simptom atau gejala-gejala yang dilaporkan oleh pesakit merujuk kepada penyakit hidung dan sinus. Masalah ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu:

1)Alahan hidung (allergic rhinitis)

Alahan hidung atau allergic rhinitis merupakan satu radang pada bahagian mukosa hidung (1).

Alahan ini menyebabkan tindakbalas hidung dan tubuh pada alahan sekitaran seperti debu, bulu binatang dan makanan.

punca-punca resdung
Kredit gambar: A.D.A.M

2)Jangkitan kuman pada sinus (sinusitis)

Jangkitan kuman pada sinus atau sinusitis pula merujuk kepada berlakunya jangkitan kuman, alahan atau radang pada lapisan membran pada rongga sinus. Jangkitan ini menyebabkan rongga ini membengkak dan menyumbat saluran sinus (2).

Sinus ialah rongga berisi udara pada tengkorak yang dilapisi oleh membran. Membran ini mengeluarkan sedikit cairan untuk memerangkap kotoran dan memberi kelembapan pada rongga hidung (3).

sinus kronik-resdung
Kredit gambar: Mayoclinic.org

Tanda-Tanda atau Gejala Resdung

  1. Hidung tersumbat
  2. Lelehan hingus yang berlebihan
  3. Bersin yang kerap
  4. Hingus yang berubah warna dan berbau busuk
  5. Pening kepala
  6. Bengkak mata
  7. Kegatalan di hidung, mulut dan muka
  8. Batuk
  9. Jerawat pada muka
  10. Letih dan lesu
  11. Hilang deria rasa dan bau
  12. Selsema berpanjangan

18 Punca-punca Menyebabkan Resdung

Bagi alahan hidung (allergic rhinitis) (4, 5):

  1. Hama habuk di rumah
  2. Habuk
  3. Debunga atau spora
  4. Haiwan berbulu seperti kucing dan anjing
  5. Air liur kucing
  6. Kulapok
  7. Makanan (bagi mereka yang mempunyai alahan makanan seperti makanan laut dan kekacang).

Beberapa faktor luaran yang boleh memburukkan keadaan:

  1. Asap rokok
  2. Bahan kimia
  3. Pencemaran udara
  4. Penyembur rambut
  5. Minyak wangi
  6. Asap dari pembakaran kayu

Bagi jangkitan kuman pada sinus (sinusitis) (6):

  1. Ketumbuhan dalam hidung (nasal polyps)
  2. Jangkitan virus, bakteria atau kulat pada saluran pernafasan.
  3. Komplikasi daripada penyakit cystic fibrosis, HIV, dan penyakit berkaitan sistem imun
  4. Septum hidung yang terpesong atau menyimpang
  5. Alahan

Rawatan Resdung

Bagi alahan hidung, rawatan yang boleh didapati ialah:

  1. Rawatan daripada doktor umum.
  2. Rawatan doktor pakar yang boleh menentukan tahap alahan pada hidung dan sinus.
  3. Ubat semburan terdiri daripada steroid dan bukan steroid selalu digunakan selepas berjumpa dengan doktor bagi mengurangkan keradangan atau bengkak.
  4. Jauhi kawasan yang berhabuk atau berdebu.
  5. Menjauhi haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
  6. Bernafas dalam wap panas dari semangkuk air.
  7. Menggunakan ubat antihistamin.

Beberapa jenis ubat jenis antihistamin yang boleh didapati daripada farmasi atau kedai ubat:

  • fexofenadine
  • diphenhydramine
  • desloratadine
  • loratadine
  • levocetirizine
  • cetirizine

Bagi masalah jangkitan kuman pada hidung (sinusitis) pula, rawatan yang boleh didapati ialah:

  1. Dapatkan rawatan daripada doktor.
  2. Penggunaan steroid nasal spray bagi mengurangkan bengkak dan radang.
  3. Antibiotik yang bersesuaian (pada peringkat awal)
  4. Pembedahan sinus (sekiranya rawatan biasa gagal).

Write A Comment