Alahan

Alahan Terhadap Sengatan Serangga: Simptom & Rawatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Alahan terhadap sengatan serangga biasanya disalah tafsirkan dengan reaksi sengatan biasa. Adalah penting untuk mengetahui perbezaan antara reaksi sengatan dan reaksi alahan terhadap sengatan supaya tidak berlaku kebimbangan yang tidak perlu.

Tebuan, lebah, penyengat, semut api, labah-labah atau nyamuk boleh mengigit atau menyengat sekiranya anda berdekatan atau menganggu mereka. Selalunya mereka tidak akan menganggu anda sekiranya anda tidak menganggu mereka.

Terdapat tiga jenis reaksi sengatan serangga dan ia berbeza mengikut individu.

Jenis pertama (normal): Tindak balas normal berlaku yang menyebabkan kesakitan, bengkak dan kemerahan di sekeliling gigitan atau sengat.

Jenis kedua (setempat): Tindak balas setempat menyebabkan kemerahan dan bengkak yang merebak dari kawasan sengatan ke kawasan berhampiran. Tindak balas ini akan memuncak dalam masa 48 jam dan sepatutnya bertambah baik selepas 5 hingga 10 hari.

Jenis ketiga (alahan): Tindak balas yang serius akibat sengatan dikenali sebagai anafilaksis. Keadaan ini memerlukan rawatan segera.

alahan sengatan serangga

Sengatan atau Gigitan Serangga yang Boleh Menyebabkan Alahan

Terdapat 3 keluarga serangga yang boleh menyebabkan alahan. Mereka adalah:

  • Vespidae: tebuan, penyengat
  • Apidae: lebah madu, bumblebee (jarang-jarang)
  • Formicidae: Semut api, semut kebun

Gigitan serangga ini boleh menyebabkan alahan tetapi jarang berlaku:

  • Nyamuk
  • Pepijat
  • Lalat rusa

Apa yang Menyebabkan Reaksi Terhadap Gigitan dan Sengatan?

Apabila anda digigt atau disengat, bisa yang masuk ke dalam badan menyebabkan sistem imun bertindak balas.

Tindak balas pantas sistem imun ini akan menyebabkan bengkak dan kemerahan. Seterusnya, anda mungkin alami rasa gatal-gatal dan kesakitan.

Sekiranya anda mempunyai alahan atau sangat sensitif terhadap biasa, sengat atau gigitan boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil kejutan anafilaksis.

Keadaan ini boleh menyebabkan rongga kerongkong menyempit dan sukar bernafas atau tekanan darah menjadi rendah.

Kejutan anafilaksis ini juga boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat segera.

Simptom-simptom Alahan Terhadap Sengatan Serangga

Terdapat 2 senario yang mungkin berlaku kepada mereka yang disengat atau digigit serangga. Biasanya, mereka yang disengat dan digigit ini akan sedar akan serangga yang menyerang mereka.

Manakala, terdapat juga mereka yang tidak sedar kehadiran serangga yang datang menyengat atau mengigit mereka sehinggalah munculnya simptom-simptom seperti berikut:

  • Rasa sakit.
  • Gatal-gatal di kawasan sengatan.
  • Bengkak di kawasan sengatan atau kawasan berhampiran.
  • Tempat gigitan menjadi seperti jerawat.
  • Lepuh dikawasan sengatan atau gigitan.
  • Ruam.
  • Lebam di kawasan gigitan.

Tindak balas alahan adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Simptom-simptom tindak balas alahan yang ringan terhadap sengatan serangga ini adalah seperti berikut:

  • Gatal-gatal.
  • Rasa sakit.
  • Kemerahan atau ruam.
  • Rasa loya dan muntah.
  • Rasa semut-semut atau gatal-gatal dalam mulut.

Bagi alahan yang teruk yang dikenali sebagai anafilaksis, rawatan segera diperlukan. Antara simptom-simptom alahan pada tahap anafilaksis ialah:

  • Kejang perut, muntah, loya atau cirit-birit.
  • Sukar bernafas dan rasa ketat di dada.
  • Suara menjadi serak, bengkak lidah atau kerongkong atau sukar untuk menelan.
  • Pening atau tekanan darah menurun mendadak.
  • Pengsan atau tidak sedarkan diri.
  • Bengkak di bibir dan kerongkong.
  • Nadi lemah atau berdenyut pantas.

Tindak balas anafilaksis ini memerlukan rawatan kecemasan.

Rawatan kepada Alahan Sengatan Serangga

Bagi tindak balas ringan hingga sederhana, sengatan serangga ini boleh dirawat di rumah.

  1. Buang penyengat jika ada tertinggal di dalam kulit (selalunya lebah akan meninggalkan penyengatnya di tempat sengatan).
  2. Basuh kawasan sengatan dengan sabun dan air bersih untuk menyingkirkan bisa sebanyak mungkin.
  3. Letakkan ais atau pek ais di kawasan sengatan untuk mengurangkan bengkak.
  4. Pastikan kawasan sengatan bersih dan kering bagi mengelakkan jangkitan.
  5. Balut jika perlu.

Krim atau losyen seperti hydrocortisone dan calamine boleh digunakan jika kawasan sengatan menjadi gatal atau berlaku iritasi. Ubat antihistamin juga boleh digunakan.

Anda juga boleh mencuba menyapu satu lapisan nipis pes yang mengandungi baking soda dan air untuk mengurangkan rasa gatal-gatal.

Bagi reaksi alahan teruk seperti anafilaksis, rawatan segera diperlukan. Suntik EpiPen (epinefrin) jika dibawa bersama.

Buat panggilan kecemasan 999 atau bawa mangsa ke hospital berdekatan dengan segera.

Rawatan kecemasan yang boleh dilakukan sementara menunggu bantuan tiba termasuklah:

  • Longgarkan baju mangsa.
  • Baringkan mereka di bahagian sisi.
  • Lakukan CPR jika mangsa berhenti bernafas atau degupan jantung terhenti.

Mereka yang mempunyai sejarah alahan terhadap sengatan serangga haruslah sentiasa membawa EpiPen (epinefrin) jika melawat kawasan yang berpotensi mempunyai serangga-serangga seperti tebuan, lebah, penyengat dan semut api.

Langkah-langkah Pencegahan

Rawatan terbaik ialah mengelakkan diri daripada disengat. Oleh itu, anda harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri anda disengat jika berada di kawasan yang berisiko.

Walaupun tiada jaminan 100% bahawa anda tidak akan disengat atau digigit, tetapi langkah-langkah pencegahan ini dapat mengurangkan risiko anda disengat atau digigit.

Antaranya adalah:

  • Kenali bentuk-bentuk sarang lebah, tebuan atau penyengat dan jauhi diri daripada sarang-sarang ini.
  • Pakai kasut dan stokin ketika melakukan aktiviti luar atau masuk ke dalam hutan.
  • Pakai baju lengan panjang dan seluar panjang.
  • Pakai topi atau penutup kepada ketika masuk ke dalam hutan atau semak samun.
  • Elakkan memakai minyak wangi atau losyen yang berbau wangi ketika berada di kawasan hutan atau kawasan berisiko.
  • Gunakan semburan penghalau serangga ketika aktiviti di luar.
  • Elakkan daripada memakai baju berwarna terang kerana boleh menarik perhatian serangga.
  • Pastikan makanan atau minuman sentiasa bertutup kerana bau makanan boleh menarik perhatian serangga-serangga ini.

Rumusan

Kejadian sengatan atau gigitan serangga berbisa ini adalah biasa dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Secara umumnya, serangga ini tidak akan menyengat manusia kecuali jika mereka diganggu atau berasa terancam.

Sesetengah orang mungkin mempunyai alahan terhadap bisa-bisa serangga ini yang boleh menyebabkan simptom-simptom yang serius hingga boleh meragut nyawa.

Sekiranya anda pernah mengalami tindak balas alahan yang teruk. Pastikan sentiasa membawa penyuntik epinefrin ketika melakukan aktiviti luar seperti perkhemahan, merentas hutan atau mendaki bukit.

Walaupun terdapat rawatan untuk alahan akibat sengatan serangga ini, namun langkah terbaik ialah dengan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada disengat.

Kemaskini terakhir pada 18 November 2020

Rujukan

Write A Comment