Alahan

Alahan Susu Lembu Pada Bayi dan Kanak-kanak

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sesetengah bayi atau kanak-kanak mempunyai alahan atau alergik terhadap susu lembu. Alahan susu lembu berbeza daripada tak tolerans laktosa (lactose intolerance). Alahan atau alergik susu ini jarang berlaku dalam kalangan orang dewasa. Kebiasaannya, bayi yang alah kepada susu lembu turut alah kepada susu kambing, biri-biri dan kerbau.

Susu terdiri daripada protein, gula lemak, vitamin, mineral dan air. Alahan susu lembu ialah tindak balas abnormal kepada protein dalam susu lembu atau produk yang mengandungi protein susu ini (1).

Kira-kira 1-5% bayi mempunyai alahan terhadap protein yang terdapat dalam susu lembu dan susu formula berasaskan susu lembu.

Kajian yang dijalankan oleh University of Southern Denmark menunjukkan peratusan kanak-kanak yang akan bebas dari alahan ini pada umur 1 tahun adalah sebanyak 45-50%, pada umur 2 tahun sebanyak 60-75% dan pada umur 3 tahun sebanyak 85-90% (2).

alahan susu lembu

Tanda-Tanda atau Gejala Alahan Susu Lembu

Tanda bayi alahan susu lembu boleh dilihat sama ada beberapa minit atau selepas beberapa hari selepas pengambilan susu lembu atau produk tenusu yang mengandungi protein susu lembu.

Gejala atau simptom-simptom yang boleh muncul selepas beberapa minit (3):

  • gatal-gatal
  • ruam
  • bintat-bintat merah (urticaria)
  • bengkak pada muka
  • nafas berbunyi
  • muntah
  • cirit-birit

Gejala atau simptom-simptom yang boleh dilihat dalam beberapa jam:

  • muntah
  • cirit-birit
  • ruam atau ekzema

Gejala atau simptom-simptom yang boleh dilihat dalam beberapa hari:

  • ekzema (radang pada kulit yang menampakkan kemunculan lelehan, sisik atau keruping yang menyebabkan rasa gatal dan resah)
  • cirit-birit
  • asma

Gejala atau simptom-simptom tindak balas alahan yang teruk:

  • kesukaran bernafas atau nafas berbunyi
  • bengkak pada lidah
  • bengkak atau peyempitan pada kerongkong
  • kesukaran bercakap
  • pening yang berterusan
  • batuk berterusan
  • pucat

Dapatkan nasihat doktor untuk diagnosa untuk memastikan tanda-tanda ini berkaitan alahan atau penyakit lain.

Rawatan untuk Alahan Susu Lembu

Bagi bayi atau kanak-kanak yang telah didiagnosa mempunyai alahan susu lembu, rawatan terbaik ialah mengelakkan susu atau produk berkaitan susu lembu (4, 5).

Selain itu, beberapa langkah lain yang boleh dilakukan sebagai rawatan atau pencegahan terhadap bayi yang alahan susu lembu termasuklah:

  • Ibu yang menyusukan anak mereka juga ditegah dari mengambil makanan berasaskan susu lembu.
  • Bagi kes alahan yang teruk, ubat seperti epinephrine mungkin diperlukan.
  • Bagi bayi yang menyusu susu formula, boleh bertukar kepada susu berasaskan soya (formula protein soya) atau formula dihidrolisiskan secara ekstensif (extensively-hydrolysed formula) atau formula berasaskan asid amino.
  • Makanan tambahan (suplemen) kalsium dan vitamin D mungkin diperlukan setiap hari bagi bayi yang tidak menyusu (dapatkan nasihat doktor).

Susu Formula untuk Bayi Alahan Susu Lembu

Alternatif atau pilihan lain yang boleh menggantikan susu lembu adalah susu formula berasaskan soya, susu formula dihidrolisiskan secara ekstensif dan susu formula berasaskan asid amino.

Senarai Susu Formula Berasaskan Soya

Senarai Susu Formula Dihidrolisiskan Secara Ekstensif (extensivelyhydrolised formula)

  • Similac® Alimentum® Infant Formula (Tidak Halal)
  • Enfamil Nutramigen® with Enflora LGG Hypoallergenic Infant Formula

Senarai Susu Formula Berasaskan Asid Amino

  • Abbott Elecare® (0-12 bulan)
  • Nutricia Neocate® Syneo® Infant(0-12 bulan)

Kemaskini terakhir pada 11 September 2020.

Rujukan

  1. The Pharmaceutical Journal, May 2018, Vol 300, No 7913, online | DOI: 10.1211/PJ.2018.20204583
  2. Høst A. 2002. Frequency of cow’s milk allergy in childhoodAnnals of allergy, asthma & immunology : official publication of the American College of Allergy, Asthma, & Immunology.
  3. Betterhealth Channel. Cow’s milk allergy.
  4. Greer, F. R., et al. (2008). Effects of early nutritional interventions on the development of atopic disease in infants and children: the role of maternal dietary restriction, breastfeeding, timing of introduction of complementary foods, and hydrolyzed formulasPediatrics.
  5. Luyt, D., et al. (2014). BSACI guideline for the diagnosis and management of cow’s milk allergyClinical and experimental allergy : journal of the British Society for Allergy and Clinical Immunology.

Write A Comment