Kafein sinonim dengan minuman kopi. Kafein boleh membantu merangsang tenaga dan kepekaan bagi mereka yang meminumnya. Walau bagaimanapun, kafein boleh menyebabkan alahan bagi sesetengah orang. Walaupun bunyinya agak janggal tetapi alahan kafein wujud.

Sesetengah orang mungkin tidak boleh memulakan hari mereka tanpa kopi atau kafein. Ada juga orang yang lebih sensitif dengan kafein. Sekiranya mereka makan atau minum makanan berkafein yang banyak, mereka akan mengalami:

  • sakit kepala
  • tidak boleh tidur atau gangguan tidur
  • kegelisahan
  • ritma jantung yang tidak normal
alahan kafein

Kafein terdapat dalam beberapa jenis makanan dan minuman seperti kopi, teh, coklat dan juga minuman berkarbonat seperti coke atau cola.

Pengambilan kafein sehingga 400 miligram sehari adalah selamat bagi kebanyakan orang. 400mg kafein ini boleh dinisbahkan kepada kira-kira 4 cawan kopi.

Berbeza dengan orang yang sensitif (tak tolerans) kepada kafein, mereka yang mempunyai alahan kafein akan turut mengalami simptom-simptom alahan walaupun makan atau minum kafein pada kadar yang sedikit.

Alahan Kafein vs Tak Tolerans Kafein

Sebenarnya agak sukar juga untuk membezakan antara seseorang itu mempunyai alahan atau tak tolerans. Terdapat sedikit perbezaan yang boleh dijadikan panduan.

Alahan Kafein

  • Ia melibatkan tindak balas sistem imun yang menghasilkan antibodi
  • Menyebabkan ruam, bintat-bintat gatal
  • Boleh menyebabkan anafilaksis bagi kes-kes yang teruk

Tak Tolerans Kafein

  • Terlebih sensitif kepada kafein yang melemahkan adenosina dan merangsang andrenalin.
  • Menyebabkan gangguan tidur (insomnia), sakit perut dan menggeletar.

Punca

Alahan kafein berlaku apabila sistem imun badan menganggap kafein sebagai bahan berbahaya atau penceroboh.

Sistem imun kemudiannya akan menghasilkan antibodi immunoglobin E (IgE). Antibodi ini akan melalui sel-sel badan dan menyebabkan simptom-simptom alahan.

Simptom-simptom Alahan Kafein

Simptom-simptom atau gejala alahan ini akan berlaku beberapa jam atau sejurus penghidap alahan ini minum atau makan makanan yang mengandungi kafein walaupun pada kadar yang sedikit.

Simptom-simptom alahan ini juga hampir sama dengan simptom alahan makanan yang lain.

Antara simptom atau gejala yang lazim berlaku adalah:

  • Bintat-bintat gatal pada kulit (urtikaria)
  • Ruam pada kulit
  • Bengkak dan gatal pada kulit (angioedema)
  • Sakit kepala atau migrain
  • Keresahan
  • Tidak boleh memberi tumpuan atau fokus
  • Lidah, bibir atau kerongkong bengkak
  • Rasa berdebar-debar

Bagi kes-kes alahan yang teruk, situasi atau simptom anafilaksis boleh berlaku. Simptom-simptom anafilaksis adalah seperti:

  • Gatal-gatal pada tekak
  • Tekak atau lidah menjadi bengkak
  • Sukar bernafas
  • Batuk

Rawatan Alahan Kafein

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom alahan kafein, langkah terbaik ialah berhenti mengambil makanan atau produk yang mengandungi kafein.

Elakkan daripada mengambil minum dan makan makanan yang mengandungi kafein seperti:

  • Kopi
  • Teh
  • Coklat
  • Minuman berkarbonat
  • Minuman tenaga
  • Suplemen
  • Gula-gula yang mengandungi kafein
  • Makanan pencuci mulut
  • Kek coklat atau tiramisu

Doktor mungkin akan memberikan anda ubat antihistamin atau menyarankan anda mendapatkan ubat antihistamin belian kaunter.

Komplikasi

Alahan ini boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti anafilaksis sekiranya penghidap alahan ini mengambil makanan atau minuman yang berasaskan kafein secara berterusan. Anafilaksis boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Rumusan

Rawatan yang sesuai dan berhenti mengambil kafein dapat membantu mengatasi masalah alahan ini.

Bagi penggemar kopi atau kafein, berhenti daripada mengambil kafein boleh menyebabkan simptom-simptom seperti sakit kepala, keletihan dan menggeletar. Walau bagaimanapun, simptom ini hanyalah bersifat sementara dan mungkin akan hilang dalam seminggu.

Bagi mereka yang mengamalkan kopi atau minuman berkafein sebagai sumber untuk meningkatkan tenaga, terdapat beberapa cara lain yang boleh dilakukan untuk menggantikan kafein ini.

Contohnya seperti:

  • Melakukan banyak aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal 150 minit seminggu boleh meningkatkan tenaga anda.
  • Mengambil suplemen. Suplemen seperti vitamin B boleh membantu meningkatkan tenaga pemakannya.
  • Mendapatkan tidur yang cukup. Tidur yang cukup antara 7-8 jam sehari boleh mengelakkan rasa penat pada keesokan harinya. Ia membolehkan anda berasa lebih bertenaga dan segar pada keesokkan harinya.
Rujukan
Rujukan

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

Tanda-tanda Alahan Makanan Laut (Seafood)

Alahan terhadap makanan laut adalah jenis alahan paling kerap kita dengar atau…

Petua Hilangkan Alahan Kulit (+ Rawatan Perubatan)

Alahan kulit adalah keadaan dimana kulit menjadi gatal-gatal atau ruam disebabkan oleh…

Alahan Terhadap Habuk: Punca, Tanda dan Rawatan

Mereka yang mempunyai alahan terhadap habuk amatlah sensitif dengan rumah yang berhabuk…

Alahan Terhadap Sengatan Serangga: Simptom & Rawatan

Alahan terhadap sengatan serangga biasanya disalah tafsirkan dengan reaksi sengatan biasa. Adalah…