Alahan

Alahan Buah Strawberi Dalam Kalangan Kanak-kanak

Pinterest LinkedIn Tumblr

Alahan buah strawberi? Kedengarannya pelik bukan? Tetapi hakikatnya nikmat mengigit buah strawberi yang enak itu boleh bertukar menjadi masalah sekiranya anda mempunyai alahan terhadap buah strawberi.

Sekiranya anda mengalami alahan buah strawberi, anda akan rasa pelik di mulut, mulut atau tekak terasa gatal-gatal dan mulut atau tekak menjadi bengkak. Alahan buah strawberi ini juga boleh dikelaskan sebagai sindrom alahan oral.

Menurut American College of Allergy, Asthma & Immunology (ACAAI), mereka yang mengalami sindrom alahan oral ini biasanya boleh makan makanan (buah atau sayur) ini setelah ia dimasak. Ini kerana protein dalam makanan ini telah terganggu akibat proses pemanasan dan protein ini tidak lagi dikenali oleh sistem imun.

Alahan jenis ini juga biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang sudah besar, remaja atau golongan muda.

alahan buah strawberi

Tanda-tanda Alahan Buah Strawberi

Simptom-simptom atau tanda alahan kepada buah ini boleh berlaku antara beberapa minit hingga 2 jam selepas makan buah tersebut.

Antara tanda-tanda yang boleh berlaku adalah:

  • Gatal atau sesemut di mulut.
  • Bengkak pada bibir, kerongkong ,lidah atau muka.
  • Ruam pada kulit atau ekzema.
  • Gatal-gatal pada kulit
  • Batuk
  • Rasa ketat pada kerongkong
  • Rasa mual
  • Sakit perut
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Rasa pening
  • Berdehit, hidung tersumbat.
  • Sukar untuk bernafas.

Simptom-simptom yang terjadi bergantung kepada tahap keseriusan alahan itu. Sekiranya alahan yang terjadi ialah alahan yang ringan, maka simptom-simptom seperti di atas dapat dilihat.

Namun sekiranya alahan itu adalah alahan yang teruk, anda anda akan melihat simptom-simptom atau tanda kecemasan seperti di bawah.

Tanda-tanda Kecemasan

Alahan yang serius dikenali sebagai anafilaksis. Anafilaksis akan mempamerkan beberapa simptom atau tanda kecemasan yang memerlukan tindak balas pantas daripada ibu bapa, penjaga atau orang sekeliling penghidap alahan ini.

Antara tanda-tanda anafilaksis adalah:

  • Bengkak pada kerongkong yang menyukarkan pernafasan.
  • Pengetatan dan kekangan pada saluran udara (pernafasan).
  • Tekanan darah menurun
  • Denyutan nadi pantas
  • Pening, pengsan atau tidak sedarkan diri

Anafilaksis memerlukan rawatan kecemasan. Sekiranya tidak dirawat, anafilaksis boleh menyebabkan koma atau kematian.

Punca Alahan Buah Strawberi

Alahan buah strawberi ini selalunya terjadi kepada kanak-kanak. Alahan ini berlaku apabila sistem imun bertindak balas terhadap sesetengah protein yang terkandung dalam buah ini.

Sistem imun (sistem pertahanan badan) tersalah anggap bahawa buah atau protein dalam buah ini sebagai sesuatu yang berbahaya seperti bakteria atau virus.

Sebagai tindak balas, sistem imun badan merangsang sel-sel untuk merembeskan antibodi yang dikenali sebagai immunoglobulin E (IgE) untuk meneutralkan makanan yang menyebabkan alahan (alergen).

Dalam satu kajian yang dijalankan di India, pengkaji mendapati penyebab atau alergen kepada alahan buah strawberi ini adalah sama dengan alergen debunga birch [1].

Oleh itu, sesiapa yang mempunyai alahan terhadap buah strawberi mungkin akan turut mengalami alahan atau tindak balas terhadap buah-buahan berikut:

Rawatan

Rawatan kepada alahan ini bergantung kepada tahap alahan yang terjadi sama ada ringan atau teruk. Jalan terbaik untuk mengelak terjadinya alahan ini ialah dengan menjauhi buah strawberi atau produk yang berkaitan dengan buah strawberi.

Namun, mungkin ada ketikanya kita terlepas pandang akan perkara ini dan berlakunya alahan.

Alahan ringan

Kebiasaannya, alahan ringan boleh diubati dengan ubat antihistamin yang boleh didapati di farmasi atau ditentukan oleh doktor. Walau bagaimanapun, ubat antihistamin ini tidak boleh merawat alahan yang teruk seperti anafilaksis.

Alahan teruk

Alahan teruk atau anafilaksis boleh dirawat menggunakan suntikan ubat epinefrina sebagai rawatan kecemasan. Seterusnya, anak anda atau pesakit harus segera di bawa ke hospital atau klinik untuk rawatan lanjut.

Epinefrina (epinephrine) ini boleh didapati dalam bentuk alat suntikan automatik. Alat ini digunakan dengan menyuntik pada peha pesakit sekiranya berlaku anafilaksis.

Bagaimana untuk mengetahui anda menghidap alahan?

Anda boleh mendapatkan rawatan atau berunding dengan doktor sekiranya anda mengesyaki anda menghidap alahan. Doktor akan bertanyakan mengenai simptom-simptom yang terjadi serta maklumat sejarah keluarga sekiranya ada ahli keluarga yang lain mengalami perkara yang sama.

Beberapa ujian juga mungkin dilakukan untuk mengetahui sama ada anda mengalami alahan atau tidak. Antaranya adalah:

a) Pemeriksaan fizikal.

Pemeriksaan ini dilakukan bagi memastikan simptom yang berlaku tidak berkaitan dengan masalah kesihatan yang lain.

b) Ujian kulit.

Ujian cucuk kulit ini dilakukan untuk melihat tindak balas anda terhadap makanan yang disyaki. Ujian ini dilakukan dengan meletakkan sedikit makanan yang disyaki penyebab alahan pada permukaan kulit (kulit lengan).

Kemudian, doktor akan mencucuk sedikit kulit anda untuk membenarkan sedikit bahan daripada bawah kulit untuk keluar ke permukaan.

Sekiranya anda mengalami alahan terhadap makanan tersebut, anda mungkin akan mengalami tindak balas atau benjolan.

c) Ujian darah.

Ujian darah dijalankan untuk mengukur tindak balas sistem imun terhadap makanan yang disyaki dengan mengukur antibodi yang berkaitan alahan iaitu immunoglobulin E (IgE).

d) Diet penyingkiran.

Kaedah ini melibatkan penyingkiran makanan yang disyaki selama seminggu atau dua minggu, kemudian mengambilnya kembali satu pada satu masa. Kaedah ini membolehkan anda melihat makanan mana yang menyebabkan simptom alahan.

e) Cabaran makanan oral.

Ujian ini dijalankan dengan memerlukan anda makan makanan yang dipercayai menyebabkan alahan sedikit demi sedikit. Sekiranya tiada tindak balas yang berlaku, anda boleh kembali makan makanan tersebut.

Langkah – langkah pencegahan

Langkah pencegahan yang terbaik ialah menghindari daripada makan buah strawberi atau makanan berasaskan buah strawberi seperti jem, kek, jeli dan perisa semulajadi.

Dalam kebanyakan kes, alahan kepada buah stawberi tidak mengancam nyawa [2].

Amalan membaca label produk ketika membeli-belah juga merupakan satu tindakan pencegahan yang baik.

Strawberi juga selalunya digunakan sebagai pewarna atau perisa dalam produk-produk makanan. Oleh itu, dengan membaca label kandungan produk dapat mencegah daripada berlakunya alahan.

Rumusan

Alahan terhadap buah strawberi mungkin asing bagi masyarakat di Malaysia. Alahan jenis ini turut dikenali sebagai sindrom alahan oral atau sindrom alahan makanan debunga.

Pada asasnya, alahan buah ini menunjukkan tanda-tanda yang sama seperti mana alahan terhadap makanan laut atau alahan terhadap kekacang.

Mereka yang mempunyai alahan buah strawberi juga berkemungkinan besar untuk menghidapi alahan yang sama terhadap beberapa jenis buah lain yang merupakan dalam keluarga yang sama dengan buah strawberi.

Sekiranya anda makan di luar, pastikan juga pelayan mengetahui bahawa anda mempunyai alahan terhadap buah ini dan dapatkan sedikit maklumat tentang makanan yang ingin dimakan daripada pelayan atau pemilik restauran.

Sekiranya alahan yang anda alami adalah ringan, mungkin pada satu ketika anda boleh kembali makan buah strawberi ini. Ada yang berpendapat dengan membiasakan makan makanan yang menyebabkan alahan, sedikit demi sedikit dalam diet harian membolehkan sistem imun tidak lagi bertindak balas terhadap makanan ini.

Kemaskini terakhir pada 17 Oktober 2020.

Rujukan
  1. Hassan, A. K., & Venkatesh, Y. P. (2015). An overview of fruit allergy and the causative allergensEuropean annals of allergy and clinical immunology.
  2. Bajraktarevic, A., et al. (2011). Prevalence of strawberry allergy in Bosnian children and managementClinical and Translational Allergy.

Write A Comment