Alahan bijan mungkin tidak popular seperti mana alahan makanan laut, alahan susu atau alahan kekacang. Tetapi data menunjukkan sebaliknya, alahan bijan merupakan alahan yang menunjukkan peningkatan, terutamanya dalam kalangan rakyat di negara maju.
Bijan atau biji bijan adalah biji yang diperolehi daripada tumbuhan Sesamum indicum. Biji bijan ini selalu digunakan dalam makanan, pastri atau dijadikan minyak yang dipanggil minyak bijan.
Data menunjukkan bahawa alahan bijan memberi kesan kepada kira-kira 0.1% daripada populasi Amerika Utara dan merupakan makanan utama yang menyebabkan anafilaksis di Timur Tengah. Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang teruk dan boleh membahayakan nyawa.

Justeru itu, artikel kali ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai alahan bijan, simptom-simptom alahan bijan, punca dan rawatan yang bersesuaian.
Simptom-simptom
Alahan bijan boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa. Antara simptom-simptom atau gejala yang mungkin dialami adalah:
- Gatal-gatal
- Ruam
- Bengkak di bibir atau lidah
- Sukar untuk menelan
- Suara menjadi serak
- Gatal dalam mulut
- Rasa sesemut di mulut atau kerongkong
- Hidung tersumbat
- Batuk-batuk
- Berdehit
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Loya
- Muntah-muntah
Bagi kes-kes yang teruk, tindak balas anafilaksis mungkin berlaku. Sekiranya berlakunya anafilaksis, pesakit mesti diberikan rawatan kecemasan kerana ia boleh membahayakan nyawa.
Antara simptom-simptom anafilaksis adalah:
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Deyutan jantung menjadi laju
- Pengsan atau pening (kelihatan pucat)
- Tekanan darah rendah
- Bengkak dalam kerongkong
Punca Alahan Bijan
Alahan bijan berlaku akibat daripada tindak balas sistem imun terhadap protein dan minyak (alergen) yang terkandung dalam bijan atau minyak bijan.
Para pengkaji percaya bahawa terdapat lebih daripada satu alergen yang menyebabkan alahan jenis ini.
Secara umumnya, alergen bijan boleh dibahagikan kepada 2 kategori berdasarkan sifat kimia dan kehipersensitifan yang mereka hasilkan.
Kategori pertama adalah protein bijan. Kategori kedua pula adalah molekul seperti lignin dalam minyak bijan iaitu sesamol, sesamin dan sesamolin.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa sebatian oleosin dalam bijan merupakan alergen yang utama. Oleosin ini juga dikatakan mungkin mempunyai perkaitan dengan tindak balas alahan yang teruk iaitu anafilaksis.
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang itu untuk turut mengalami alahan terhadap bijan.
Individu berikut adalah golongan yang berisiko tinggi untuk turut mengalami alahan jenis ini:
- Menghidap asma
- Menghidap ekzema
- Mempunyai alahan sengatan serangga
- Mempunyai alahan getah (lateks)
- Mempunyai alahan ubat-ubatan
- Mempunyai keradangan pada esofagus
- Mempunyai keradangan pada saluran pencernaan
- Mempunyai ahli keluarga yang turut menghidap alahan makanan
Rawatan Alahan Bijan
Rawatan terbaik bagi alahan ini adalah menjauhi semua makanan yang mengandungi bijan.
Majoriti kanak-kanak yang menghidap alahan bijan sukar untuk pulih daripada alahan ini sepenuhnya. Berbanding alahan susu atau alahan telur, kajian mendapati 80% penghidap alahan bijan berterusan mengalami alahan tersebut walaupun setelah meningkat remaja.
Suntikan epinefrina
Bagi tindak balas alahan yang teruk seperti anafilaksis, rawatan kecemasan atau yang pertama harus diberikan adalah suntikan epinefrina.
Oleh itu, bagi mereka yang menghidap alahan, pastikan sentiasa membawa alat suntikan epinefrina ini.
Ubat antihistamin
Bagi tindak balas alahan yang ringan, ubat antihistamin belian kaunter boleh digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
Sekiranya pesakit tidak pasti punca yang menyebabkan simptom-simptom alahan, sila mendapatkan rawatan daripada doktor.
Imunoterapi Oral
Imuniterapi adalah kaedah rawatan yang mendedahkan pesakit kepada bahan alergen mengikut dos tertentu dibawah penyeliaan ahli profesional kesihatan. Dos yang diberikan akan ditingkatkan secara berkala.
Kaedah ini akan menyebabkan sistem imun menjadi kurang sensitif terhadap bahan alergen tersebut. Pesakit mungkin hanya mengalami tindak balas alahan yang ringan sekiranya terdedah kepada bahan alergen tersebut pada masa akan datang.
Makanan atau Produk yang Mengandungi Bijan
Menghindari makanan atau produk yang mengandungi bijan atau minyak bijan adalah langkah terbaik bagi mencegah alahan ini.
Berikut adalah beberapa jenis makanan atau produk yang mengandungi bijan.
Industri makanan
- Roti burger
- Piza
- Wafer
- Pastri
- Serbuk roti
- Pretzel
- Roti Itali
- Bagel
- Biskut
- Sandwic
- Halvah
- Tahini
- Kuah salad
- Simit
- Sup
- Sos
- Makanan bebas gluten
- Coklat
- Marjerin
- Minyak bijan
- Kuih bom / bebola bijan
- Makanan yang ditaburkan bijan diatasnya
- Muesli atau bar muesli
Industri farmaseutikal
- Salap
- Plaster
- Kapsul
- Emulsi
- Suntikan intraotot
Industri kosmetik
- Gincu
- Minyak badan
- Krim pelembap
- Sabun
Rumusan
Alahan bijan adalah alahan yang semakin kerap berlaku dalam populasi negara-negara maju.Walaupun kajian masih terhadap terhadap populasi dunia, data-data menunjukkan bahawa berlaku peningkatan insiden alahan bagi penduduk di negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Australia dan Jepun.
Alahan bijan juga dilaporkan antara penyebab utama kepada tindak balas alahan yang teruk (anafilaksis) di negara Timur Tengah.
Langkah terbaik dalam menhadapi alahan terhadap bijan adalah menjauhi makanan atau produk yang mengandungi biji ini.
Rujukan
- Gangur, V., Kelly, C., & Navuluri, L. (2005). Sesame allergy: a growing food allergy of global proportions?. Annals of allergy, asthma & immunology.
- Leduc, V. et al. (2006). Identification of oleosins as major allergens in sesame seed allergic patients. Allergy.
- Warren, C. M. et al. (2019). Prevalence and Severity of Sesame Allergy in the United States. JAMA network open.
- Adatia, A. et al. (2017). Sesame allergy: current perspectives. Journal of asthma and allergy.
- Cohen, A. et al. (2007). Sesame food allergy and sensitization in children: the natural history and long-term follow-up. Pediatric allergy and immunology.