Air masuk telinga semasa mandi atau berenang? Atau anda mendengar bunyi yang tidak jelas atau sunyi? Telinga anda mungkin dimasuki air.
Air masuk ke dalam telinga adalah fenomena biasa yang banyak berlaku ketika berenang dan kadangkala ketika mandi. Biasanya, air yang masuk tersebut mudah untuk dikeluarkan.
Mungkin ia menyebabkan ketidakselesaan, namun ia tidak seteruk ketidakselesaan yang disebabkan oleh serangga yang memasuki telinga.
Walau bagaimanapun, anda tidak boleh mengambil mudah kerana air yang tersumbat di dalam telinga itu tidak patut dibiarkan. Ia mesti dikeluarkan bagi mengelakkan jangkitan di dalam telinga. Jangkitan pada saluran telinga luar ini dipanggil “telinga perenang.”

Bagi anda yang tidak tahu cara untuk mengeluarkan air yang masuk ke dalam telinga tersebut. Berikut kami sertakan 6 cara untuk keluarkan air masuk telinga yang mudah untuk dilakukan:
1. Masukkan Beberapa Titis Air
Teknik ini mungkin kedengaran pelik, tetapi ia adalah antara kaedah yang berkesan untuk keluarkan air yang masuk ke dalam telinga.
Cara-caranya adalah:
- Condongkan kepala anda dengan bahagian telinga yang dimasuki air di bahagian atas.
- Titiskan air menggunakan penitis atau jari anda.
- Tunggu beberapa saat sehingga anda berasakan air tersebut memasuki saluran telinga anda.
- Terbalikkan telinga yang dimasuki air menghadap ke bawah dengan sedikit daya.
- Semua air yang masuk tersebut akan keluar.
Sekiranya tidak berjaya, anda boleh mengulanginya langkah-langkah ini sehingga air tersebut keluar.
2. Goyang Cuping Telinga
Teknik yang berikutnya adalah menggoyangkan cuping telinga anda.
Tarik perlahan atau goyang cuping telinga anda sambil condongkan kepala anda dalam gerakan ke bawah, ke arah bahu anda.
Anda juga boleh cuba menggelengkan kepala anda dari sisi ke sisi semasa dalam kedudukan ini.
3. Berbaring Secara Mengiring
Anda juga boleh menggunakan bantuan graviti untuk mengeluarkan air yang tersumbat dengan berbaring secara mengiring.
Berbaring di sisi anda selama beberapa minit, dengan meletakkan kepala di atas tuala untuk menyerap air. Air mungkin perlahan-lahan mengalir keluar dari telinga anda.
4. Menghasilkan Vakum
Kaedah seterusnya adalah dengan menghasilkan vakum.
Cara-caranya adalah:
- Condongkan kepala anda ke sisi, dan menekup telinga anda dengan telapak tangan yang dibengkokkan, mencipta pengedap yang ketat.
- Tolak tangan anda secara perlahan ke belakang dan ke hadapan ke arah telinga anda dalam gerakan yang pantas. Ratakan telapak tangan semasa anda menolak dan membengkoknya semasa anda menarik.
- Condongkan kepala anda ke bawah untuk membolehkan air mengalir keluar.
5. Gunakan Minyak Zaitun
Minyak zaitun juga boleh membantu anda mengeluarkan air yang masuk ke telinga dan mencegah daripada berlakunya jangkitan.
Cara-caranya adalah:
- Panaskan sedikit minyak zaitun dalam mangkuk kecil sehingga suam. Letakkan beberapa titis pada pergelangan tangan untuk menguji suhu.
- Menggunakan penitis bersih, letakkan beberapa titis minyak zaitun ke dalam telinga yang terjejas.
- Berbaring di sisi yang lain selama kira-kira 10 minit, kemudian duduk dan condongkan telinga yang terjejas ke bawah. Air dan minyak sepatutnya mengalir keluar.
6. Gunakan Pengering Rambut
Seterusnya, anda juga boleh mnggunakan pengering rambut untuk mengeluarkan air yang masuk ke dalam telinga anda.
Haba daripada pengering rambut boleh membantu menyejat air di dalam saluran telinga anda.
Cara-caranya adalah:
- Hidupkan pengering rambut anda ke tetapan paling rendah.
- Pegang pengering rambut kira-kira 30 cm dari telinga anda dan gerakkannya ke belakang dan ke hadapan.
- Semasa menarik cuping telinga anda, biarkan udara hangat bertiup ke dalam telinga anda.
Jangan Lakukan Perkara Ini!
Menggunakan kaedah yang salah untuk mengeluarkan air dari telinga boleh mencalar saluran telinga atau menjejaskan tahi telinga di dalam saluran.
Jangan gunakan kaedah-kaedah yang salah untuk mengeluarkan atau mengeringkan air dari telinga anda atau anda akan terdedah kepada jangkitan.
Elakkan menggunakan kaedah-kaedah berikut:
- Menggunakan putik kapas: Putik kapas boleh memadatkan tahi telinga dan kotoran ke dalam saluran telinga anda, menyingkirkan lilin yang melindungi telinga anda, mengganggu bakteria semula jadi dalam saluran telinga atau merengsakan kulit nipis saluran telinga.
- Jangan gunakan hidrogen peroksida atau titisan pengering: Jangan gunakan bahan-bahan ini sekiranya telinga anda atau anak anda memakai tiub telinga atau mengalami retakan gegendang telinga.
- Jangan menggunakan jari atau kuku: Jangan menggunakan jari atau kuku untuk mengeluarkan air dari telinga anda. Anda boleh mencalar kulit nipis di dalam saluran telinga.
Tanda-tanda Jangkitan dalam Telinga
Sekiranya anda tidak berjaya mengeluarkan air dari telinga atau tidak menyedari terdapat air terperangkap di dalam telinga, terdapat beberapa tanda yang menunjukkan berlakunya jangkitan di dalam telinga anda.
Antaranya adalah:
- Rasa gatal-gatal di dalam saluran telinga
- Kemerahan dalam telinga
- Rasa sakit atau tidak selesa yang semakin teruk jika anda menarik telinga atau menekan benjolan kecil dihadapan telinga
- Cecair jernih dan tidak berbau yang mengalir dari saluran telinga
Jika anda mengalami tanda-tanda ini, sila dapatkan rawatan daripada pengawai perubatan (doktor) untuk mendapatkan ubat preskripsi.
Bagaimana Mencegah Air Masuk Telinga?
Panduan mudah ini boleh membantu mengelakkan air daripada tersumbat di telinga anda pada masa hadapan.
- Pakai topi renang atau gunakan penyumbat telinga semasa anda berenang.
- Keringkan kawasan luar telinga dengan menyeluruh menggunakan tuala mandi selepas mandi atau berendam.
- Buang penyumbat telinga sekiranya anda berpeluh.