Monosodium glutamat (MSG) adalah penambah rasa yang mempunyai reputasi yang tidak baik kerana dikatakan boleh membahayakan kesihatan anda. Sejauh mana kebenaran yang MSG ini berbahaya?
Sejak bertahun-tahun lamanya, MSG telah dilihat sebagai bahan yang tidak sihat. Walau bagaimanapun, penyelidikan terkini mempersoalkan ketepatan kesan buruk yang didakwa terhadap kesihatan manusia.
Artikel ini akan merungkai fakta sebenar berkaitan dengan MSG, adakah MSG berbahaya dan maklumat-maklumat kajian terkini mengenai monosodium glutamat.

Apa itu MSG?
MSG ialah ringkasan kepada monosodium glutamat.
MSG wujud secara semula jadi dalam sesetengah makanan. Ia juga turut digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan-masakan Cina, Jepun, Thai atau makanan diproses.
MSG diperoleh daripada asid L-glutamik, yang secara semula jadi terdapat dalam banyak makanan.
Asid L-glutamik ialah asid amino yang tidak perlu, bermakna badan anda boleh menghasilkannya dengan sendirinya dan tidak perlu mendapatkannya daripada makanan. [1]
MSG berwarna putih, tidak berbau dan berbentuk seperti serbuk kristal yang lazimnya digunakan sebagai bahan tambah makanan. Dalam industri makanan, MSG turut dikenali dengan kod panggilan E621.
Monosodium glutamat dihasilkan melalui proses fermentasi karbohidrat daripada sumber seperti tebu, gula ubi bit dan molases.
MSG mempunyai rasa yang khusus yang dipanggil “umami” iaitu rasa kelima selain rasa manis, masin, masam atau pahit.
Selain itu, harus diketahui juga bahawa tidak ada perbezaan dari segi kimia antara asid glutamik yang dijumpai secara semula jadi dalam sesetengah makanan dengan asid glutamik yang dijumpai dalam MSG.
Ini bermakna badan kita tidak dapat membezakan antara kedua-dua jenis asid ini. [2]
Kenapa MSG dikatakan Berbahaya?
MSG mendapat reputasi buruk pada tahun 1968 apabila seorang doktor Cina-Amerika bernama Robert Ho Man Kwok yang menulis surat kepada New England Journal of Medicine menjelaskan bahawa dia jatuh sakit selepas memakan makanan Cina. [3]
Dalam tulisan beliau, beliau percaya bahawa gejala-gejala yang dialami mungkin akibat daripada alkohol, garam atau MSG.
Ini mencetuskan pelbagai maklumat salah tentang MSG. Surat tersebut membawa kepada penamaan gejala-gejala Kwok sebagai “sindrom restoran Cina,” yang kemudiannya menjadi “kompleks gejala MSG” (MSC). [1]
Kemudiannya, banyak penyelidikan yang menyokong bahawa reputasi buruk MSG dengan menyatakan bahawa bahan tambah makanan ini sangat toksik. [1]
Walau bagaimanapun, penyelidikan terkini mempersoalkan ketepatan penyelidikan-penyelidikan sebelum ini atas beberapa sebab iaitu: [1]
- Saiz sampel yang kecil
- Kurang ketepatan dos
- Kekurangan kumpulan kawalan
- Kelemahan metodologi
- Penggunaan dos yang sangat tinggi yang jauh melebihi dos yang digunakan dalam diet biasa
- MSG diberikan melalui suntikan, bukannya melalui pengambilan oral (makan)
Kini, pihak berkuasa kesihatan seperti Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA), the Food and Drug Administration (FDA), dan the European Food Safety Association (EFSA) mengiktiraf MSG secara amnya sebagai selamat. [1]
Mereka juga menentukan pengambilan harian yang boleh diterima adalah sebanyak 30 mg per kilogram berat badan setiap hari. [1, 2]
Ini jauh lebih banyak daripada jumlah yang biasanya anda makan dalam diet harian biasa.
Kajian Lama Vs. Kajian Baru
Sebelum ini, MSG dikatakan berbahaya kerana dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, ketoksikan otak, diabetes dan MSC.
Meskipun begitu, kajian atau penyelidikan yang lebih terkini menunjukkan sebaliknya.
1. Obesiti
MSG telah dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti atau berat badan berlebihan.
Satu kajian pencerapan pada 2008 melaporkan bahawa pengambilan MSG boleh meningkatkan risiko berat badan berlebihan dalam kalangan manusia. [4]
Walau bagaimanapun, kajian pencerapan tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti punca dan kesan bahan kajian tersebut.
Ini bermakna kajian tersebut tidak dapat mengesahkan bahawa MSG yang menyebabkan kenaikan berat badan bagi peserta yang diuji.
Satu kajian percubaan terkawal rawak yang lebih terkini melaporkan bahawa pengambilan sup yang ditambah MSG mengurangkan pengambilan tenaga (kalori) bagi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes. [5]
Kajian longitudinal pada 2010 yang melibatkan 1282 peserta lelaki dan wanita melaporkan bahawa pengambilan MSG tidak mempunyai kaitan dengan obesiti atau peningkatan berat badan. [6]
2. Kesan Kepada Otak
Glutamat memainkan banyak peranan penting dalam fungsi otak. Ia bertindak sebagai neurotransmiter iaitu bahan kimia yang merangsang sel-sel saraf untuk menghantar isyarat.
Sesetengah kajian mendakwa bahawa MSG boleh membawa kepada ketoksikan otak dengan menyebabkan paras glutamat yang berlebihan dalam otak untuk merangsang sel-sel saraf secara berlebihan, mengakibatkan kematian sel. [7, 8]
Walau bagaimanapun, glutamat dalam makanan seperti MSG mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada otak anda kerana hampir tiada satu pun daripadanya yang melalui usus masuk ke dalam darah atau melintasi halangan otak. [1, 2]
Sebaliknya, MSG yang dimakan akan dimetabolismekan di dalam usus. Dari situ ia digunakan sebagai sumber tenaga atau ditukar menjadi asid amino.
3. Diabetes
Terdapat juga kajian terhadap haiwan yang mengaitkan MSG dengan penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2. [9]
Walau bagaimanapun, kajian ini menggunakan kaedah yang tidak tepat iaitu menggunakan kaedah suntikan berbanding dos oral (melalui makanan).
Satu kajian kohort yang lebih berkualiti berbanding kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan MSG yang tinggi dalam kalangan orang dewasa Cina tidak meningkatkan risiko kepada paras gula darah yang tinggi. [10]
Satu kajian semula yang melibatkan 89 kajian membuat kesimpulan bahawa bukti untuk mengaitkan MSG dengan diabetes masih kurang dan kebanyakan bukti bergantung kepada ujian jangka pendek. [11]
4. Sesetengah Orang Mungkin Sensitif
Sesetengah orang mungkin lebih sensitif dan boleh mengalami kesan buruk daripada pengambilan MSG disebabkan oleh keadaan yang dipanggil “Kompleks gejala MSG (MSC).”
Gejala-gejala MSC adalah seperti sakit kepala, pening, rasa lemah, kekejangan otot, sukar bernafas atau tidak sedarkan diri. [1]
Dos ambang yang menyebabkan gejala jangka pendek dan ringan pada orang yang sensitif ialah 3 gram atau lebih MSG tanpa makanan.
Rumusan
MSG adalah bahan tambahan makanan yang sinonim dengan masakan masyarakat Asia.
MSG telah digunakan sebagai penambah rasa sejak awal 1900-an, tetapi ia mula mendapat reputasi yang buruk pada akhir 1960-an.
Tiba-tiba, MSG dikatakan berbahaya dan dikaitkan dengan semua jenis masalah kesihatan. Meskipun begitu, data-data atau penyelidikan terkini mendapati tidak ada bukti yang kukuh untuk mendakwa bahawa MSG boleh menyebabkan penyakit tertentu.
Pihak berkuasa kesihatan mengklasifikasikan MSG sebagai selamat apabila diambil secara bersederhana.
Rujukan
- Zanfirescu, A. et al. (2019). A review of the alleged health hazards of monosodium glutamate. Comprehensive reviews in food science and food safety.
- Henry-Unaeze H. N. (2017). Update on food safety of monosodium l-glutamate (MSG). Pathophysiology.
- Kwok R. H. (1968). Chinese-restaurant syndrome. The New England journal of medicine.
- He, K. et al. (2008). Association of monosodium glutamate intake with overweight in Chinese adults: the INTERMAP Study. Obesity.
- Miyaki, T. et al. (2016). Monosodium L-glutamate in soup reduces subsequent energy intake from high-fat savoury food in overweight and obese women. The British journal of nutrition.
- Shi, Z. et al. (2010). Monosodium glutamate is not associated with obesity or a greater prevalence of weight gain over 5 years: findings from the Jiangsu Nutrition Study of Chinese adults. The British journal of nutrition.
- Hajihasani, M. M. et al. (2020). Natural products as safeguards against monosodium glutamate-induced toxicity. Iranian journal of basic medical sciences.
- Niaz, K. et al. (2018). Extensive use of monosodium glutamate: A threat to public health?. EXCLI journal.
- Nagata, M. et al. (2006). Type 2 diabetes mellitus in obese mouse model induced by monosodium glutamate. Experimental animals.
- Shi, Z. et al. (2014). Monosodium glutamate intake is inversely related to the risk of hyperglycemia. Clinical nutrition.
- El Tabbal J. (2022). Monosodium glutamate in a type 2 diabetes context: A large scoping review. Regulatory toxicology and pharmacology.